Ibadah & Kerja Tidak Seiringan

Betulkah begitu? Ramai di antara kita akan mengatakan ia sebenarnya berjalan serentak. Tidak boleh kita lebihkan yang satu dan mengurangkan yang satu lagi. Ada juga mereka yang berpendapat dengan kerja akan menghasilkan kualiti ibadah; paksa diri dalam melaksanakan sesuatu kerja sehingga akhirnya timbul ikhlas dan membuahkan amal ibadah yang sebenarnya. Dan ada juga di kalangan kita yang punya pandangan tidak mengapa ibadah kita kurang kualitinya, tapi kerja dakwah perlu kita teruskan. Jika bukan kita yang bekerja menyeru kepada pentauhidan Allah, siapa lagi? Takkan nak tunggu sampai jadi alim, dah cukup sifat baru boleh nak laksanakan dakwah? Lambatlah begitu.

Namun sebetulnya, kita lihat untuk apa kita bekerja?
1. Menarik manusia untuk mengesakan Allah
2. Ia kerja hakiki untuk dapatkan syurga Allah
3. Agar manusia juga dapat merasa nikmat berada dalam system islam
4. Agar manusia hidup untuk Allah sebagai hambaNya dan juga khalifah

Jawapan Rubi'i Bin Amir atas apa mereka diutuskan
Biar apapun niatnya, ayuh kita jadikan kata-kata Rubi’ bin Amir kepada Rustum saat perang al-Qadisiyah. Ketika itu, Rustum meminta agar Saad bin Abi Waqas untuk menghantarkan seorang utusan yang bertindak sebagai negotiator. Saad pun menghantar Mughirah bin Su’bah sebagai wakil yang pertama. Mughirah ra. dengan izzah dan jelas menyatakan pendirian tentera muslimin, “Kami tidak menginginkan dunia ini, keinginan kami adalah untuk kehidupan di akhirat”. Setelah itu, Rubi’I bin Amir pula dihantar. Rubi’I bin Amir ra. Masuk ke perkarangan istana Rustum yang dihiasi dengan emas, berlian dan sutera. Beliau masuk dengan menaiki kudanya bersama perisai dan pedang ke tengah-tengah istana sehinggalah sampai ke permaidani Rustum. Rastum lantas menyuruhnya untuk meletakkan senjatanya, Rubi’i membalasnya dengan “Aku tidak datang atas kehendak sendiri, tetapi atas permintaan. Jika anda tidak membiarkan saya dalam keadaan sedia ada, saya akan pulang kepada tentera saya!” Rustum pun membiarkannya menghadap. Rubi’i kemudiannya maju kehadapan dan membenamkan pedangnya ketanah menembusi permaidani mewah sang empunya istana. Dia ditanyakan atas sebab apa mereka datang?

“Allah menghantar kami untuk mengeluarkan makhluk daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah; daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat; daripada kezaliman kepada keadilan islam; dan Allah telah mengutuskan ad-deen ini kepada manusia untuk mentauhidkanNya. Barangsiapa yang menerima panggilan ini, kami akan menerimanya dan pulang ke tanah air kami. Dan bagi mereka yang membantah dan menetang, kami perangi mereka sehingga sampai janji Allah.”

“Apakah dia janji itu?”

“Syurga bagi mereka yang gugur ketika di medan peperangan dan kemenangan bagi mereka yang hidup!”

Daripada kisah ini, ada 3 objektif dalam dakwah kita.
1. Menjadikan manusia itu mulia dengan memperhambakan dirinya pada Allah semata
2. Menjadikan jiwa manusia hidup dari sekadar mengejar dunia yang sementara
3. Membela manusia daripada kezaliman sesama makhluk

Namun yang paling utama ialah untuk menyedarkan manusia untuk ta’at pada Allah. Dengannya, jiwa manusia akan hidup untuk akhirat dan membebaskan mereka dari kezaliman system-sistem kufur. Jika begitu, masakan kita menyeru manusia untuk ta’at sedang diri masih lagi terawang-awang dalam ibadah? Satu aspek keta’atan yang sangat jelas. Bahkan keta’atan yang sungguh akan menghasilkan da’ie yang perihatin terhadap ibadahnya dan perhubungannya dengan Allah, sang Penguasa yang kita serukan kepadaNya.

Apa cerita mutabaah amal aku hari ini? Qiam dah lopong…
hari demi hari, sedar ataupun tidak, kita sebenarnya dituntut untuk pertingkatkan kualiti diri. Maksud aku, bukan sahaja dari sudut iman, bahkan kuantiti dan kualiti amal. Kerana ‘kerja’ kita semakin hari semakin bertambah, dan pada siapa sebenarnya kita mengadu? Dimana hendak kita dapatkan kekuatan? Dengan solat sunat dua rakaat akan menggerakkan kita bekerja selama 2 jam, sekarang ia menuntut kita untuk melaksanakan kerja dakwah khusus hampir sepanjang hari. Takkan masih di takuk ibadah yang lama? Takkan hati masih tak kita didik untuk ikhlas dan mengutamakan yang haq? Takkan hati kita masih menyangka kekuatan dalam kerja dakwah ini hanya bergantung pada kekuatan fisikal dan mental sahaja? Kemana aspek ruhi yang sering kita tekankan dalam liqa’ halaqah sehari-hari?

“Wahai Saudara yang tercinta!
Di hadapanmu setiap hari terdapat suatu saat di pagi hari, suatu saat di petang hari dan suatu saat di penghujung malam, yang semunya dapt kamu gunakan untuk meningkatkan kerohanianmu yang suci ke tingkat yang tinggi, sehingga kami dapat meraih kebaikan dunia dan akhirat. Di hadapanmu ada hari Jumaa’t dan malam harinya yang dapat kamu gunakan untuk memenuhi kedua tanganmu, hatimu dan ruhmy dengan limpahan yang deras dari rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Dan di hadapannya terdapat musim-musim ketaatan, hari-hari ibadah dan amalam-malam untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui bimbingan yang diberikan kepadamu oleh kitabmu yang mulia dan rasulmu yang agung. Untuk itu, hendaklah engkau rajin menggunakannya agar menjadi orang-orang yang berzikir, bukan menjadi orang yang lalai, dan menjadi orang-orang yang beramal bukan menjadi orang-orang yang malas. Gunakanlah waktu itu sebaiknya kerana waktu itu bagaikan pedang, dan janganlah kamu menangguh-nangguhkan kesempatan ini, kerana sesungguhnya tiada yang lebih berbeahaya dari sikap menangguh-nangguhkan kebaikan.” – Syahid Imam Hasan Al-Banna

Masa yang ada perlu kita gunakan untuk ibadah. Baru mampu untuk kita dapatkan kebaikan dunia dan akhirat. Aku kongsikan pula coretan seorang ikhwah:

Jalan kemenangan – IBADAH sebelum QIADAH

Saya telah bertemu dengan seorang tua yang telah melepasi perjalanan usia yang sudah lama dan telah menghampiri garisan akhirat. Seluruh kepalanya telah diselaputi rambut yang memutih, garis-garis penuaan meniti wajahnya yang bersih. Saya duduk di sisinya di waktu siang hari, di kala cahaya matahari menyinari bumi. Saya melihat wajahnya berseri-seri disinari cahaya taqwa, pantulan nur dari hati yang sentiasa berhubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Dia tidak dikenali di kalangan masyarakat, namanyapun tiada siapa yang ingat.

Setelah mendengar cerita saya, dia bertanya, apakah nama persatuan kamu? Saya menjawab, kami bukan persatuan, tetapi kami adalah ikhwan fillah (saudara-saudara di jalan Allah) sahaja. Kami berhimpun di atas landasan aqidah dan fikrah. Kami cuba laksanakan pada diri kami, kemudian cuba memahamkannya kepada manusia. Fikrah kami tidak lain kecuali memahami Islam, beramal dengannya dan mengajak orang lain bersama-sama kami dalam memahami dan melaksanakan Islam. Cantik!, komennya. Siapa yang mengajar kamu di rumah (tempat kamu berkumpul)? Tanyanya lagi. Saya menjawab, dalam banyak keadaan, sayalah yang berbicara kepada saudara-saudara saya. Seketika dia terdiam. Kemudian dia mengangkat pandangannya tepat ke wajah saya seraya bertanya, adakah kamu bangun malam? Saya menjawab, apa tujuan tuan bertanyakan hal ini? Jiwa-jiwa kami berada di dalam genggaman Allah. Jika Dia kehendaki, Dia akan membangunkannya. Dan jika Dia kehendaki, Dia akan menahannya. Dia mendengus: benarlah kata-kata Allah dan rasulNya: “…. dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.” (Maksud al-Kahf:54)

Dengan tenang dan teratur dia berbicara, Ya Akhi: Sesungguhnya mentarbiah ruh-ruh, mentazkiah jiwa-jiwa dan memimpin hati-hati tidak terjadi dengan perkataan yang diulang-ulang, dengan kaedah-kaedah yang diajar, dengan teori-teori yang dikemukakan. Semua ini mungkin berkesan kepada akal dan ilmu, tetapi ia tidak berbekas pada jiwa, tidak menyentuh perasaan dan tidak dapat membentuk akhlak. Sesungguhnya perkara utama yang diperlukan oleh jamaah adalah ruh-ruh dan akhlak ahli-ahlinya. Sesungguhnya mereka yang cuba mengislahkan akhlak dengan menulis buku-buku sahaja sebenarnya tertipu dan menipu. Kalau sekiranya inilah juga cara kamu maka alangkah jauhnya kamu daripada mencapai apa yang kamu mahu.

Lembapnya dakwah kerana lemahnya kualiti kita

Aku kira ibadah kita memainkan peranan yang kenghidupkan dakwah kita. Perhubungan kita dengan Allah akan meyakinkan jiwa kita dengan bantuanNya. Namun jika kita masih ditakuk lama, bahkan semakin hari berlalu, semakin kurang amal kita, ada kau rasa jiwa kau akan tenang dan yakin akan apa yang kau sampaikan? Apa sebenarnya yang kau ucapkan? Isi yang menyentuh jiwa mereka atau sekadar air liur mengeringkan tekak sang penglipurlara?

Hari ini madu’ kita sudahpun mengamalkan ma’thurat sughra. Apakah aku masih tidak mampu meluangkan masa untuk mengamalkan yang kubra? Hari ini madu’ kita sudah mula tilawah dan mendekati al-Quran. Apakah aku masih menganggap al-Quran sebagai bahan bacaan seharian sedang sepatutnya ia adalah penghidup jiwa aku? Hari ini madu’ kita sudah menjinakkan diri mendirikan malam. Apakah akau hanya mampu untuk 2 rakaat sebelum tidur ataupun witir betul-betul sebelum subuh?

“Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang saleh dinaikkan-Nya” – Surah Faathir: 10

Kemuliaan mereka yang dimuliakan dengan islam hanya terjadi apabila hati mereka tunduk sepenuhnya pada Allah. Ketundukkan hati itu akhirnya membawa kepada ketundukkan jasad, akal dan amal keseluruhannya. Sehingga mereka tidak kenal penat walau sedetik. Kehidupan mereka menjadi qudwah kepada setinggi-tinggi pangkat manusia sehinggalah kepada yang tidak punya apa sedikitpun. Hinanya kita hari ini kerana lemahnya pegangan kita terhadap islam, dan rapuhnya perhubungan kita dengan Allah.

Sebetulnya, jika hati tidak kita tautkan terlebih dengan yang haq, masakan amal kita dan hasilnya akan tertaut padaNya. 

0 comments:

Post a Comment

Click to view my Personality Profile page