Membetulkan Niat Meluruskan Langkah

Aku mulakan entri blog ini dengan innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

Malapetaka apa yang datang? Sedangkan bukankah lebih baik aku mulakan dengan bismillah atau pun ucapan salam? Bismillah sebagai awal permulaan manakala salam pula awal perkenalan dan doa selamat.

Aku sudahpun ucapkan ia seawal aku berada dalam system tarbiyah ini. Sudah lama kaki ini melangkah, jiwa ini dibasahkan, masa aku luangkan untuk program dan kerja dakwah. Tapi pada penghayatan aku, kerja dakwah ini masih belum menampakkan hasil. Malahan mereka yang aku sentuh jiwa-jiwanya kini makin hanyut dibawa arus dunia. Jika tidakpun, mereka menjauh dariku walaupun fisikal mereka tampak hampir. Begitu sedikit yang menyahut, begitu sedikit yang bekerja, begitu sedikit mereka meluangkan masa untuk islam dan dakwah. Aku buntu. Aku pulangkan kembali jiwa ini pada Mu.

Umar Al-Khattab katanya: Aku mnedengar Rasulullah bersabda: “hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya bagi dunia yang ia akan perolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ai hijrah kepadanya itu.” (HR Bukhari & Muslim) – hadith 1 daripada matan 40 susunan Imam Nawawi.
Kalau kita kaji intipati hadith ini ada 2 perkara yang diperlukan dalam amal.

1. Niat kita bagaimana?

Niat perlulah betul berlandaskan apa yang kita perjuangkan. Dalam dakwah, takut-takut kita tersalah dalam menetapkan niat. Niat akhir mungkin betul untuk mengembalikan islam sebagai syiar kehidupan, ustaziatul alam. Menarik seramai mungkin manusia untuk bersama dalam kehidupan yang menjanjikan kehidupan abadi, merasai nikmat berada dibawah naungan islam dan melepaskan diri dari pertanggungjawaban ‘menyeru kepada Allah’ di akhirat kelak. Tapi mungkin dalam proses itu; hati kita mengimpikan kemasyhuran, jiwa ini menantikan namanya disebut-sebut, jiwa kita mengeluh dalam bekerja. Astaghfirullah. Dan kepincangan hati ini berlaku hanyalah dalam waktu sedetik. Sedangkan jasad ini bekerja atas asas niat sedetik yang salah itu, maka terhapuskan segala keberkatan dalam beramal. Banyak mana amal aku yang Kau terima ya Allah? Banyak mana pula yang telah aku persiakan?

“Kelesuan sesudah mujahadah (kesungguhan) timbul kerana adanya kerosakan pada langkah pertamanya” – petikan daripada Ar-Raqa’iq

2. Amal yang kita laksanakan

Ingat tidak pada syarat-syarat suatu amal diterima Allah? Pertamanya ikhlas lillah dan keduanya ittiba’ lil rasul. Ikhlas kerana Allah adalah niat dan kunci diterima segala amal perbuatan kita. Manakala mengikut cara Rasulullah adalah bagaimana niat itu diterjemahkan dalam berntuk perlaksanaan. Ia juga kunci utama dalam penerimaan amal. Rosak salah satunya, tidak diterima amal tersebut. Begitulah dalam kehidupan dakwah ini. Kita bukan sahaja berbicara soal method dakwah yang kita laksanakan tetapi sehingga menjangkau bagaimana kita menjalani kehidupan seharian kita; pergaulan kita, gaya hidup kita, imej kita. Kerana kita perlu tahu dan sebetulnya mengetahui bahawa kehidupan kita adalah dakwah. Mana mungkin aku melaksanakan kerja dakwah sedang diri ini bergaul yang kosong-kosong. Sedang diri aku masih tidak menjaga hak persaudaraan sesame ikhwah dan juga mutarabbi.

Method dakwah juga perlulah betul. Sebetulnya mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun. Menyusun program pembinaan untuk mutarabbi dan dalam masa yang sama menyusun diri agar peningkatan berlaku. Seorang sahabat baik pernah mencoretkan kata-kata ini dalam buku catatan usrah aku setahun yang lalu: “Suatu kemungkaran/kesalahan yang besar ialah apabila murabbi sibuk membina orang lain sedang ia terlupa untuk membina diri sendiri”.

Kerana itulah kita para murabbi sering diingatkan untuk bersama dalam kelompok mereka yang saling ingat mengingati. Agar diri tidak tenggelam dalam kerja pembinaan semata namun lupa akan diri sendiri.

Malapetaka besar sedang melanda kita. Takungan mereka yang memerlukan sentuhan islam semakin ramai, sedang da’ie yang dipercayakan untuk mengungguli perjuangan ini semakin hari semakin kurang kualitinya. Sudahlah kuantiti cukup sedikit, ini pula isu kualiti. Duhai hati, sedarlah JIWA kita ini hanyalah pinjaman. Ayuh kita lafazkan kata-kata Abdullah bin Rawahah saat kegetiran perang tabuk!

“Wahai diri, jika kau tidak gugur di medan juang, kau tetap akan mati walau di atas ranjang”

0 comments:

Post a Comment

Click to view my Personality Profile page