Kenapa Begini Tidak Begitu?
Adakah metodologi dakwah ini hanya melalui usrah? Bukankah ada banyak lagi cara-cara dakwah yang berkesan dan mampu menyentuh lebih ramai orang untuk kita dedahkan penghayatan islam dari sekadar pertemuan mingguan bersama 7 orang. 7 muka yang sudah hampir jemu dipandang. Bagaimana islam hendak kita sebarkan kalau ia hanya tertumpu pada 7 orang sahaja? Bila kita mahu gerakkan usaha dakwah pada yang belum islam? Bukankah itu sebenarnya objektif dakwah? Meng’islam’kan yang bukan islam. Kenapa tenaga kita, kita habiskan untuk mereka yang sudahpun memahami islam? Bukankah itu satu bentuk pembaziran masa dan tenaga? Kenapa begini bukan begitu? Inikah cara kita?
Wasilah usrah hanyalah salah satu daripada 7 wasail (kata jamak kepada wasilah – medium) dalam sistem pentarbiyahan fikrah kita. Fikrah ikhwan muslimin. Fikrah tanzimi. Selain usrah, kita ada medan rehlah, daurah, jaulah, mukhayyam, katibah, muktamar..semuanya akan mendedahkan kita dalam satu proses pentarbiyahan yang merangkumi pelbagai latarbelakang untuk bentuk peribadi kita sebagai muslim yang benar pada perilakunya, percakapannya, pemikirannya.
Pun begitu masih ada ruang-ruang lain yang mampu kita sentuh masyarakat. Ceramah umum, program-program berbentuk islamik, rancangan TV9 dan sebagainya. Kita tidak menafikan medan-medan itu wujud. Cuma pernah kita terbayangkan tidak, siapakah yang menggerakkan medan-medan itu? Tidak mungkin orang-orang biasa. Pengacara, ustaz, pengarah program..semuanya melalui sistem pembentukkan yang rapi. Sistem pentarbiyahan masing-masing untuk akhirnya jadi seperti output pendidikan yang diterima. Lebih hebat lagi, jika ada yang terpilih untuk menyertai kursus-kursus khas yang penyertaannya bukan calang-calang. Penyampainya pun bukan sebarangan. Sudah pasti mereka yang tamat kursus itu akan keluar menjadi mereka yang top dalam bidang masing-masing. Kerana mereka melalui sistem pentarbiyahan yang komprehensif dan intensif. Baru mampu mereka jalankan peranan mereka dengan cemerlang dan projek yang terjana pasti hebat!
Begitu dengan kita. Kita ada sistem pentarbiyahan kita. Kita laluinya agar kita juga mampu berada di tengah masyarakat untuk membimbing mereka. Kearah apa kita bimbing? Sebetulnya kita kena bimbing diri terlebih dahulu kearah matlamat yang ingin kita sasarkan. Tidak mungkin kita menyeru kepada sesuatu yang tidak kita tujui sendiri!? Setelah jelas matlamat kita, kukuh pendirian kita, mantap hujjah kita..bukankah medan masyarakat itu terbuka untuk kita bolos dan tembus?
Makanya usrah ini adalah untuk mereka yang terpilih untuk melalui sistem-sistem pendidikan yang komprehansif dan intensif! Bukan seperti program-program biasa yang boleh datang dan daftar percuma!
Jika anda persoalkan kenapa tidak kita terus terjun ke medan masyarakat? Tanya semula; berbekalkan apa kita hendak terjun? Tangan kosong atau ilmu yang sangat sedikit dan cetek itu? Dengan peribadi yang masih rapuh dan begitu mudah terpedaya? Dengan pendirian yang berbolak-balik bagaikan lalang ditiup angin? Jika itu bekalnya, tidak lamalah kita atas jalan juang ini! Jalan juang ini akan sentiasa dipenuhi jiwa-jiwa pejuang..walaupun tanpa kita.
Kenapa islam tidak tersebar melalui usrah!? Salah sistem itu atau salah mereka yang mengikutinya?
Kalau MLM, pasti dan pasti, jika seseorang itu ada 7 downline, berita produknya sudahpun menjangkau kawasan daerah mahupun negeri! Betul atau tidak? (saya tanyakan mereka yang terlibat dengan herbal life, onedrop perfume, HPA, ScoreA etc)
Inikan pula islam. Cuma kuncinya ahli usrah tidak bercita-cita menyampaikan islam sebagaimana ahli MLM yang ghairah merebut ganjaran-ganjaran atas usaha mereka. Ya anda katakan perumpamaan ini tidak munasabah, kerana ganjaran mereka adalah material, sedangkan usaha dakwah ini kerjanya ikhlas dan hanya diganjarkan oleh Allah. Habis tu? Apa point anda? Jika jalan dakwah ini ditaburi duit baru anda hendak bekerja menyampaikan islam? Alangkah tertipunya diri ini!
Pernah kita tanyakan kenapa mereka yang bertemu islam selepas kekufuran mereka lebih menonjol dalam gerak kerja dakwah mereka? Kenapa mereka itu disegani sendiri oleh golongan yang sememangnya sejak lahir sudahpun muslim?
Kerana mereka mencari erti kehidupan dan bekerja atas keimanan mereka! Kita mungkin sudah menjumpai keimanan kita, cuma belum bertemu erti yang memberikan penghidupan kepada kita. Kita cuma mampu menuturkan kata-kata keimanan, namun amal masih berorientasikan jahiliyah dan kekufuran. Kita mungkin mampu menjana program-program berbicara tentang keimanan, namun hati kita sendiri tidak tunduk kepada apa yang kita sampaikan.
Mana mungkin islam tersebar? Dengan kualiti yang kita ada pada hari ini?
Anda boleh persoalkan seribu satu macam persoalan kenapa begitu tidak begini. Pernah anda persoalkan kenapa anda begini tidak begitu?
Besarkah yang lain selain islam? Tinggikah yang lain selain islam? Utamakah yang lain selain islam?
Dimana kita letakkan priority terhadap apa yang kita impikan?
Atau impian ini hanya angan-angan kosong?
Lihat bagaimana seerah dan kisah sahabat terus memberikan contoh-contoh yang hidup. Mereka bekerja atas angan-angan mereka. Cita-cita mereka tinggi demi merealisasikan janji-janjiNya. Jiwa mereka hidup mengharapkan balasan terbaik di akhirat kelak.
Sekali lagi tanyakan diri kita. Kenapa kita begini tidak begitu?
0 comments:
Post a Comment